Make your own free website on Tripod.com
 
NILAI DAN ETIKA PERKHIDMATAN AWAM

PENDAHULUAN

Sebuah kerajaan yang memerintah bertanggungjawab menggubal dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang difikirkan perlu untuk mencapai matlamat sosio-ekonomi dan wawasan negara.  Perkhidmatan Awam merupakan institusi penting bagi melaksanakan dasar yang digubal dalam membantu usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berasaskan kepada nilai-nilai murni sejagat.  Keberkesanan dan kecekapan jentera pelaksanaan mendukung pembangunan negara meningkatkan kualiti penghidupan rakyat di negara ini.

Untuk mencapai matlamat ini, jentera pentadbiran awam dikemaskini bagi memenuhi sebarang keperluan mengikut perubahan persekitaran dan cabaran semasa.  Penjawat Perkhidmatan Awam pula dikehendaki menghayati dan menanam sikap dan nilai positif agar ia menjadi teras atau tunggak kepada keperibadian dan tatakelakuan anggota Perkhidmatan Awam.  Pelbagai dasar dan program telah dilaksanakan oleh Kerajaan secara berterusan agar penanaman dan penghayatan sikap dan nilai murni diamalkan oleh anggota Kerajaan.  Di antaranya ialah:

  1. Teras Perkhidmatan Awam
  2. Bersih, Cekap dan Amanah
  3. Penerapan Nilai-nilai Murni
  4. Kepimpinan Melalui Teladan
  5. Pemakaian Tanda Nama
  6. Kad Perakam Waktu
  7. Pekeliling-pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam
Untuk melaksanakan etika kerja yang baik anggota perkhidmatan awam perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang.  Anggota Perkhidmatan Awam, disamping perlu memiliki nilai dan sikap yang positif, seharusnya juga mencari pendekatan baru bagi meningkatkan kepakaran agar mereka lebih cekap dan inovatif ke arah menyumbang kepada pembangunan negara.

DEFINISI NILAI DAN ETIKA

Nilai ditakrifkan sebagai kehendak dan keinginan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan berasaskan norma-norma utama meliputi perilaku dan amalan masyarakat; manakala Etika pula bermaksud tanggungjawab dan tingkah laku seseorang atau profesyen terhadap masyarakat/pelanggan.

RASIONAL

Keberkesanan untuk mewujudkan sesebuah tamadun bagi negara bergantung kepada idealisme dan motivasi setiap individu dan institusi sosial termasuk Perkhidmatan Awam.  Anggota Perkhidmatan Awam berperanan sebagai “Stewardship” negara bagi mempertahankan kepentingan awam dan keadilan bagi semua rakyat dalam pembentukan sistem sosio-ekonomi negara.  Anggota Perkhidmatan Awam di Malaysia mempunyai empat peranan utama dalam pembangunan negara iaitu:

  1. Perkhidmatan Awam adalah satu institusi utama masyarakat dan negara.
  2. Perkhidmatan Awam memberikan perkhidmatan kepada Raja, Kerajaan dan rakyat dengan penuh kesetiaan.
  3. Perkhidmatan Awam bertanggungjawab membentuk satu masyarakat yang adil dengan sistem ekonomi terbuka yang berpandukan kepada kepentingan awam, menjaga keamanan dan perundangan, menggalakkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan tamadun.
  4. Perkhidmatan Awam menjalankan hak-hak dan kuasa-kuasanya dengan penuh tanggungjawab serta berlaku adil kepada rakyat yang menerima khidmatnya.
TERAS PERKHIDMATAN AWAM
  1. Etika Perkhidmatan Awam telah dilancarkan pada tahun 1979 melalui Buku Perkhidmatan Cemerlang dan bertujuan:
  2. Mengekal dan memelihara kepercayaan terhadap tugas yang diberikan.
  3. Memupuk tanggungjawab bersama, mengeratkan perhubungan dengan kakitangan dan mewujudkan suasana yang sihat dan cekap dalam perkhidmatan.
  4. Membentuk sikap dan pembawaan anggota Perkhidmatan Awam bersesuaian dengan semangat Rukunegara.
Tujuh Teras Etika Perkhidmatan adalah:
  1. Berazam meningkatkan mutu perkhidmatan
  2. Bekerja dengan penuh tanggungjawab
  3. Berusaha mengikis sikap mementingkan diri
  4. Bekerja dengan penuh muhibbah dan kemesraan
  5. Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
  6. Bekerjasama dalam membenteras kelemahan dan musuh negara
  7. Berpegang teguh kepada ajaran agama
Oleh yang demikian, kefahaman terhadap Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam amatlah penting kerana ianya:
  1. Menentukan arah dan memberikan makna kepada pemikiran, tindakan dan tingkah laku anggota Perkhidmatan Awam bagi memenuhi tanggungjawab dan amanah sebagai pekerja negara.
  2. Memberi penyatuan dan penyelarasan di antara anggota-anggota Perkhidmatan Awam sebagai institusi utama yang memberi sumbangan kepada pembangunan tamadun masyarakat.
  3. Merupakan standard mutlak bagi mendorong anggota Perkhidmatan Awam berkhidmat dengan ikhlas dan berkesan.
Adalah wajar nilai-nilai dan etika Perkhidmatan Awam dijelaskan secara terperinci dan mendalam meliputi apa yang telah dinamakan sebagai Tonggak Duabelas (The Twelve Pillars) iaitu:
  1. Menghargai Masa
  2. Ketekunan Membawa Kejayaan
  3. Keseronokan Bekerja
  4. Kemuliaan Kesederhanaan
  5. Ketinggian Peribadi
  6. Kekuatan Sifat Baik Hati
  7. Pengaruh Teladan
  8. Kewajipan Menjalankan Tugas
  9. Kebijaksanaan Berkhidmat
  10. Keutamaan Kesabaran
  11. Peningkatan Bakat
  12. Nikmat Mencipta
Setiap satu akan diperincikan untuk tempoh tahun 2002.